Pengarah syarikat penilaian hartanah, Rahim & Co Research Sdn. Bhd., Sulaiman Akhmady Mohd. Saheh (gambar) berkata, isu pemilikan hartanah dalam kalangan bumiputera mungkin hanya dapat ditangani jika pendapatan purata bumiputera berada pada paras yang lebih tinggi sekali gus meningkatkan kuasa beli penduduk.
“Sebagai penduduk majoriti negara ini, agak sukar untuk mempunyai pendapatan purata yang tinggi. Namun, jika mempunyai pendapatan yang tinggi tentu sekali masalah pembelian rumah ini tidak menjadi isu yang besar,” katanya.
Menurut statistik Perangkaan Malaysia, purata pendapatan kasar bulanan bumiputera pada tahun 2012 ialah RM4,457 iaitu 11 peratus lebih rendah daripada purata nasional sebanyak RM5,000.
Paras itu juga 30 peratus le­bih rendah daripada kaum Cina (RM6,366) dan 15 peratus lebih rendah daripada kaum India (RM5,233).
“Pendapatan isi rumah sehingga RM5,000 dianggap mampu membeli hartanah sehingga RM350,000. Sebenarnya kemampuan golongan itu hanyalah hartanah bernilai RM250,000 kerana gaji mereka perlu ditolak dengan komitmen lain seperti pemilikan kereta dan perbelanjaan bulanan dan harian yang lain.
“Maka agak sukar untuk mencari harga rumah bernilai RM250,000 terutama sekali kawasan tumpuan kegiatan ekonomi seperti Lembah Klang,” kata Sulaiman Akhmady kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Katanya, bukan mudah untuk menaikkan pendapatan purata bumiputera secara drastik.
Bagaimanapun, jelas beliau, antara langkah jangka pendek yang boleh diambil ialah aspek penguatkuasaan seperti denda yang tinggi kepada pemaju jika tidak membina rumah mampu milik mengikut peratusan kuota yang diwajibkan.
Ujar beliau, bumiputera tidak boleh mengharapkan syarikat-syarikat hartanah milik kerajaan (GLC) untuk menyediakan rumah-rumah mampu milik kerana syarikat-syarikat itu sendiri perlu menjana pendapatan terutama sekali bagi mengelak daripada kerugian yang akhirnya terpaksa dibantu oleh kerajaan menggunakan duit rakyat.
Namun sejak akhir-akhir ini kata Sulaiman Akhmady, sudah timbul kesedaran tentang kepen­tingan pemilikan hartanah di kalangan bumiputera.
Hal itu katanya, dapat dibuktikan mengikut trend semasa apabila semakin banyak perbincangan hartanah yang dikendalikan oleh bumiputera.